Monday 22 October 2012

Tips Menetaskan Telur Ayam

Telur boleh disuluh menggunakan torch light untuk melihat keadaan di dalamnya. Jika semasa telur ditetaskan, terdapat urat-urat merah, itu tandanya telur itu ada benih. Jika tiada apa-apa perubahan pada telur, itu tandanya telur rosak


Tidak semua telur yang dimasukkan ke dalam inkubator akan berjaya ditetas. Bagi pengusaha yang baru belajar menggunakan inkubator, sudah pasti mudah berputus asa dan menyalahkan inkubator. Sebenarnya, bagi pengusaha-pengusaha baru, jika 40%-60% telur berjaya ditetas, sudah memadai untuk dikatakan sebagai berjaya!

Bagi yang telah berpuluh-puluh tahun berkecimpung dalam bidang ini, belum tentu mereka dapat menetaskan 100% telur-telur tersebut.Betul tak?

Daripada perkongsian maklumat bersama pengusaha-pengusaha didapati beberapa perkara yang perlu diberi perhatian untuk memaksimakan peratusan tetasan telur.

Antaranya ialah:

1.Telur mestilah bersih, kering dan bebas hama. Telur yang kotor dan basah dikhuatiri takkan menetas. Kalau boleh cuci kulit telur sampai bersih dengan kain kesat atau kertas pasir halus tapi pastikan tidak digosok terlalu kuat hingga retak atau kulit menjadi nipis

2. Telur tidak boleh dibiarkan lebih seminggu dari tarikh telur keluar dari rahim ibu ayam.

3. Kedudukan inkubator mestilah di tempat yang tertutup supaya suhu persekitaran terkawal. Bebas dari pancaran matahari dan tiupan angin. Bayangkan inkubator itu seperti ibu ayam yang sedang mengeram. Sudah tentu dia tidak suka mengeram di tempat yang terang dan terbuka. Betul tak?

4. Pastikan inkubator bebas daripada kuman,hama dan seumpama dengannnya.

5. Set suhu pada termostat hingga bacaan termometer berada antara 38-40 C sebelum memasukkan telur. Julat yang terlalu besar kurang bagus. Seeloknya lampu terpadam bila suhu naik sehingga 40 C atau turun sehingga 38 C.

6. Kelembapan inkubator perlu dikawal. Inkubator manual yang menggunakan bekas air untuk mengawal kelembapan perlu sentiasa mempunyai air. Kereta kita pun perlukan air bateri kan? Kalau air bateri kering apa akan jadi?

7. Peneropongan telur perlu dibuat pada hari ke-3, ke-14 dan ke-18 untuk memastikan berlakunya persenyawaan. Boleh dibuat secara manual dengan meneropong dengan “torch light” di tempat gelap. Kalau nampak ada urat-urat merah tu, INSYAALLAH tanda-tanda kejayaan!








8. Telur perlu diputar sekurang-kurangnya 3 kali sehari bagi memastikan embrio tidak melekat pada kulit dan keseluruhan telur mendapat kepanasan yang sekata. Kalau rajin, boleh alih setiap 3 jam untuk hasil yang lebih baik kerana ada penternak yang mendapat penetasan telur 90% dengan cara ini. Telur tidak dialih pada hari ke-18 dan pastikan bahagian merekah berada di atas kerana waktu itu anak ayam dah mula nak keluar. Kalau alih nanti takut cecair tumpah.


9. Kadangkala kita tengok ibu ayam meninggalkan telur tanpa dieram selama beberapa ketika untuk cari makan atau berguling-guling di atas pasir. Tingkahlaku tersebut ialah untuk mendinginkan telur. Kita boleh meniru aksi tersebut dengan membuka inkubator selama 10-15 minit atau keluarkan telur tersebut untuk diteropong.

10. Menjelang hari ke-18, kelembapan perlu ditambah untuk memudahkan pemecahan cengkerang.

11. Bila anak ayam dah keluar, ia perlu dibiarkan sehari semalam tanpa makan dan minum di dalam inkubator untuk mengeringkan bulunya sebelum dialih ke kotak D.O.C (Day of Chicken) yang dipasang lampu sebagai sumber pemanas. Boleh guna lampu 5 watt.



INSYAALLAH semoga rezeki kita diberkati. Tanda-tanda rezeki yang berkat ialah semakin rezeki bertambah, semakin kuat kita beribadat. Bukannya bila ayam-ayam bertambah banyak, kita semakin sibuk hingga tak sempat nak sembahyang.



Sunday 21 October 2012

Cara Memelihara Angsa



KENAPA PERLU PELIHARA ANGSA?

Angsa sangat bermanfaat untuk dipelihara. Ia boleh menjadi pengawal di rumah, di ladang di tapak projek atau di kilang-kilang. Semakin garang angsa itu, semakin tinggi harganya.  Angsa juga dapat menghalau ular dan tahi angsa sangat dibenci oleh ular. Tapi kadang-kadang ular yang ganas boleh meragut nyawa angsa anda :-( …Angsa boleh menjadi “mesin rumput” di halaman rumah anda kerana angsa suka makan rumput. Potongan yang sekata bagaikan padang golf:-). Angsa sangat mudah dipelihara kerana tanpa makanan yang khusus, angsa dapat berkembang biak dengan lebih baik dibandingkan kebanyakan unggas lainnya. Angsa mudah membesar, lebih tahan terhadap penyakit dan hampir tidak memerlukan ubat-ubatan. Angsa dapat dibiakkan walaupun tanpa ada kolam air bahkan sebenarnya lumpur dapat menimbulkan penyakit pada angsa. Tapi kalau buat kolam air kat dia, lagi nampak cantik dan menenangkan jiwa tengok dia main air.

Angsa Toulouse, Afrika dan Embden ialah yang paling berat, diikuti Angsa Pilgrim dan Angsa China paling ringan. Setahu saya angsa kelabu ialah yang paling murah, harga kebanyakan anak angsa baru menetas warna kelabu ialah RM 60 seekor dan angsa putih RM 90 seekor.

PEMBINAAN REBAN

Angsa tidak suka tinggal dalam reban dan suka berkeliaran. Reban dibuat sekadar tempat berteduh, bertelur dan tempat tidur. Sarang dibuat bila tiba musim bertelur, boleh guna kotak papan atau tayar buruk yang diletak rumput atau jerami kering. Pastikan tempat bertelur selamat terutama dari tempias hujan kerana telur yang terkena air akan rosak. Cahaya yang cukup penting untuk penghasilan telur yang maksima.

PEMAKANAN

Angsa boleh makan macam-macam seperti rumput, batang pisang, sabut kelapa, nasi, temukut, sayur dan hampas soya. Kalau anda malas nak mesin rumput…peliharalah angsa…nescaya ia dapat menjimatkan petrol mesin rumput anda:-) Saya suka bela angsa kerana tak perlu keluarkan modal yang besar untuk makanannya.

PEMBIAKAN

Angsa seeloknya dijodohkan sepasang atau bertiga tapi kena tengok juga tahap “keperkasaaan” angsa jantan tersebut. Kalau jenis suami mithali dan adil serta boleh membahagiakan 4 hingga 5 ekor sekaligus, tak jadi masalah. Tapi kalau jenis yang cinta sejati, nak couple dengan seekor betina sahaja dan tak layan betina lain, maknanya kena lah cari pejantan tambahan. Jumlah telur yang dihasilkan pada tahun kedua lebih banyak dan penetasan lebih baik berbanding tahun pertama, maklumlah dah ada pengalaman.:-) Angsa betina dapat bertelur hingga 10 tahun tetapi angsa jantan cepat “menopause”.

PENGERAMAN DAN PENETASAN

Untuk tujuan pengeraman, telur angsa elok dirampas 2 kali sehari dan disimpan pada suhu antara 7 – 13 darjah Celcius dan berkelembapan relatif kurang dari 70 %. Jangan simpan melebihi 5 hari kerana ianya boleh menjejaskan kualiti penetasan telur. Elok masuk terus dalam inkubator atau bagi pada Itik Nila untuk dieram. Kalau bagi pada Itik Nila atau ibu ayam,bila anak angsa dah menetas rampas segera anak itu dan masukkan dalam “brooder” sampai kering bulunya. Kalau tak rampas dibimbangi ibu itik atau ibu ayam akan meninggalkan sarang sebelum semua telur menetas. Biasa telur angsa menetas 30 – 32 hari jika guna inkubator dan kalau pakai ibu, tempohnya lebih lama.


Cara Menternak Itil Muscovy / Itik Serati / Itik Nila



Itik muscovy tempatan dikenali sebagai itik nila atau itik serati. Itik ini berbulu hitam dan putih biasa dipelihara oleh orang kampung untuk menghasilkan telur dan daging.Baka yang berwarna putih pada keseluruhan badan merupakan jenis yang di import berkualiti tinggi khusus untuk pengeluaran daging secara komersil.

Pusat Pembiakan Itik, Jabatan Perkhidmatan Haiwan, Kg Paya Jaras Hilir adalah satu- satunya ladang yang menghasilkan anak itik komersil pedaging jenis muscovy di Malaysia. Pada tahun 1992, pusat ini telah mengimport sebanyak 500 ekor induk baka tulen dari Perancis bagi menghasilkan anak itik komersil yang bermutu dan dibekalkan kepada penternak- penternak kecil sekitar Selangor dan Pulau Pinang. Sejak itu pengeluaran terus di tingkatkan.

Pusat ini terus giat memperkenalkan dan meningkatkan pengeluaran selari dengan permintaan orang ramai. Dari tahun ke tahun didapati ‘trend’ permintaan bagi setiap tahun kebiasaannya meningkat mengikut musim perayaan kaum cina seperti pada perayaan Kuih Bulan dan Tahun Baru Cina tetapi keadaan ini mula berubah sejak akhir- akhir ini kerana telah dipengaruhi oleh permintaan dan penyertaan pesawah padi/ petani melayu secara kecil- kecilan tajaan Jabatan Pertanian di seluruh negara di bawah kawalan makhluk perosak.

Anak itik yang dihasilkan oleh pusat ini kebanyakkannya ( 60% ) dibekalkan kepada penternak- penternak kecil yang menternak antara 100- 300 ekor secara ‘ all in all out ‘ selebihnya kepada penternak semi komersil yang menternak 300-1500 ekor sepusingan. Oleh kerana perusahaan ini masih baru dan keistimewaan yang ada pada itik muscovy memberi peluang kepada industri ini berkembang dengan baik, seterusnya menyumbang dalam memenuhi keperluan daging negara dan juga untuk eksport.

Pembangunan Ladang

Pemilihan dan mendapatakan kawasan yang sesuai sangat penting dan memulakan perancangan yang baik
agar suasana dan persekitaran nyaman dan selesa untuk itik membesar dan memudahkan pengurusan harian. Kemudahan bekalan air untuk ternakan dan mencuci serta bekalan elektrik perlu ada. Tanah bekas lombong, kawasan tinggi atau kering ladang kelapa sawit sesuai untuk pengurusan sistem ‘deep litter’ sama ada secara intensif atau separa intensif.

Cuaca negara kita sentiasa panas dan lembap, reban perlu direka bentuk untuk mengurangkan tegasan iklim, memberi pelindungan itik semasa peringkat membesar sehingga peringkat jual. Reban dibina menggunakan kayu dan beratap rumbia atau zink. Bumbung berbentuk double ridge dan dinding terbuka membantu pengudaraan. Tinggi minima bahagian tengah 14 kaki, tepi 8 kaki dan cucur tepi kira –kira 5 kaki bagi mendapat suasana selesa, pengudaraan yang baik dan terhindar dari tempias ketika hari hujan. Reban berukuran 300 kaki panjang dan 24 kaki lebar boleh memuatkan 5000 ekor itik sehingga peringkat jual. Selain bahagian reban penyediaan bahagian legar berpagar depan reban perlu, terutama musim panas.Lantai simen mengelakkan kelembapan dan memudahkan pembuangan sarap setiap kali selesai satu pusingan ternakan.

Kemudahan jalan dan sistem perparitan dan saliran yang baik perlu ada. Bekalan elektrik dan air yang bersih untuk minuman dan cucian sangat perlu.

Peralatan:


  • Kepungan
  • Zink licin setinggi 11/2 kaki disambung menggunakan penyepit/penyokong kayu dibentuk bulat keliling dengan panjang rentas 8 meter untuk menampung setiap 1000 ekor anak itik.

  • Bahan sarap.
  • Sekam padi atau habuk papan digunakan sebagai alas lantai simen. Sarap perlu di urus dengan baik, jika basah ianya harus dibuang dan ditambah dari masa ke semasa bagi memastikan lantai reban sentiasa kering.

  • Alat pemanas.
  • Set pemanas jenis LPG sesuai digunakan. Alat ini digantung di tengah-tengah kepungan dan dipasang 1- 2 jam sebelum ketibaan anak itik bagi menyediakan suasana persekitaran yang hangat dalam perindukan.

  • Bidai.
  • Bidai/ dinding plastik sangat diperlukan diperingkat perindukan sahaja iaitu pada itik berumur 1 hingga 3 minggu bagi melindungi ternakan dari angin sejuk malam dan ketika hari hujan.

  • Bekas makanan dan minuman.
  • Bentuk dan saiz bekas makanan dan minuman berbeza mengikut umur itik. Bilangan juga perlu ditambah dari masa ke semasa untuk memastikan itik mendapat makanan dan minuman yang mencukupi.Bekas air
    berbentuk tabung 1 dan 2 gelen juga palung automatik digunakan. Bekas makanan berbentuk dulang, palung papan panjang dan jenis kotak sesuai untuk itik daging.

    Operasi dan pengurusan


    Pengurusan itik muscovy terbahagi kepada 3 peringkat:-

  • Peringkat perindukan – 1 hingga 2 minggu.
  • Peringkat umur – 3 hingga 4 minggu.
  • Peringkat membesar – 5 hingga 13 minggu.
  • Tempoh perindukan anak itik pedaging dari umur sehari hingga dua minggu sangat penting dan memerlukan penjagaan yang sempurna. Pada hari ketibaan anak itik dikira, ditimbang dan terus di masukkan ke dalam kepungan. Air minuman yang bercampur vitamin diberikan dengan segera. Suhu dalam reban ialah 35 darjah celcius diperlukan untuk minggu pertama dan dikurangkan setiap hari sehingga mencapai 27- 30 darjah celcius. Setelah itik minum dan bergerak cergas barulah diberi makanan peringkat awal. Palong minuman sebaiknya dilapik dengan dulang bagi mengurangkan kecah dan kelembapan sarap. Palong minum diletak berselang- seli dengan palong makanan keliling dalam kepungan.

    Bidai sekeliling reban dipasang bagi melindungi anak itik dari kesejukkan dan mengawal suhu secara tetap dalam reban. Keadaan suhu dalam reban yang sesuai dan selesa dapat dilihat dengan memerhatikan kelakuan anak itik di dalam kepungan. Jika suhu terlalu sejuk anak itik akan berkumpul dan akan berhimpit- himpit di satu tempat. Jika terlalu panas anak itik akan berselerakkan serta tercungap-cungap serta kepak yang terbuka. Haba perlu dibekalkan pada waktu pagi dan malam atau waktu hujan. Bidai mula diselak secara beransur- ansur selepas 2 minggu. Peringkat 3 hingga 4 minggu, bidai di gulung sepenuhnya kecuali hari hujan lebat. Kepungan dan alat pemanas di keluarkan. Dulang makanan anak ditukar kepada palong panjang. Makanan peringkat pembesar berbentuk pelet mula dicampurkan berperingkat dan seterusnya penggunaan sepenuhnya. Palong minuman kecil ditukar pada palong automatik kerana diperingkat ini itik mula minum dengan banyak.

    Peringkat membesar 5 hingga 13 minggu, pada peringkat ini makanan dan minuman perlulah sentiasa mencukupi kerana itik mula membesar dengan cepat dan pengambilan makanan meningkat. Untuk menyediakan makanan yang banyak dan sentiasa mencukupi, makanan mula diisi di dalam bekas berbentuk peti. Pada waktu siang dan cuaca panas, pintu reban dibuka bagi membolehkan itik keluar ke ruang legar depan reban.Elakkan itik dari gangguan pengurusan dan tegasan iklim sehingga sampai waktu dipasarkan.
    Pengurusan yang baik akan menghasilkan pembesaran itik yang baik.

    Pengeluaran yang baik bergantung pada makanan ternakan yang bermutu.Makanan permulaan (starter crumble) perlu mengandungi 19 – 22 % CP dan makanan pembesar (finisher pellet) mengandungi 16- 18 % CP. Makanan permulaan adalah untuk anak itik umur sehari sehingga 3 minggu dan makanan pembesar adalah untuk peringkat 4 minggu hingga jual.Dedak komersial boleh didapati di pasaran.

    Kesihatan dan Amalan yang Baik

    * Itik yang sihat menentukan keuntungan. Pengurusan yang baik dapat mengawal kadar kematian di paras 3 % setiap kumpulan.
    * Program suntikan pelalian perlu diamalkan bagi mengelakkan penyakit berpunca dari virus tertentu. Khidmat nasihat Jabatan Perkhidmatan Haiwan perlu diterap dalam pengurusan harian.
    * Memotong paruh juga perlu dilakukan kerana itik muscovy mempunyai paruh yang mencangkuk ( tajam). Dalam keadaan stress selalunya pada umur 2-3 minggu itik akan patuk-mematuk bahagian belakang dan bulu yang baru tumbuh.
    * Mengawal kemasukan penyakit dengan mengawal pergerakan pelawat, pekerja, kenderaan. Menyediakan ‘foot-bath’ membasmi kuman di hadapan setiap pintu masuk ladang/reban sangat-sangat diperlukan.
    * Hapuskan tikus dan burung yang berkeliaran di dalam reban kerana binatang-binatang ini pembawa penyakit dan bakteria.
    * Penternakan itik juga perlu diurus dengan baik dan mesra alam.
    * Air cucian dari reban perlu di salurkan ke dalam kolam kumbahan yang disediakan oleh pihak ladang.Itik yang mati tidak wajar di buang merata- rata bagi mengelakkan pencemaran bau dan penaykit.
    * Lubang pembuangan itik mati yang bertutup papan tebal sedalam 4 hingga 6 kaki dalam perlu dibuat bagi mengatasi masalah ini.
    Ladang perlu mewujudkan dan mengamalkan sistem rekodan yang baik.Data- data boleh membantu pengusaha menganalisis pengurusan bagi membaiki kelemahan dan meneruskan usaha, pencapaian yang baik bagi menjamin keuntungan yang lumayan dan berterusan.

    Pemasaran

    Daging muscovy pasarannya masih kecil berbanding dengan pemasaran itik peking, pemasarannya masih terhad dan hanya tertumpu pada musim perayaan. Ianya di jual diperinggkat ladang, diproses di rumah sembelih dan dipasar segar di seluruh Malaysia.

    Sistem integrasi bersepadu pemeliharaan itik pedaging jenis peking telah dimulakan oleh beberapa syarikat.
    Penternak itik dipilih oleh syarikat dengan syarat penternak mesti mampu membina reban sendiri. Syarikat bertanggungjawab membekal anak itik dan makanan kepada penternak dan kemudiannya membeli balik itik yang telah memcapai umur sembelihan dengan harga yang telah dijanjikan sebelumnya. Itik muscovy juga diharapkan akan diusahakan secara sepadu seperti ini tidak lama lagi.

    Pasaran dalam negeri terhad kepada itik yang bersaiz kecil (betina) dan itik jantan yang berumur dalam lingkungan umur 11 minggu dengan berat 3.8 kg. Pasaran Singapura terutama musim perayaan mengkehendaki itik jantanyang bersaiz besar purata 4.5 kg.

    Pentarnak kecil memasarkan itik kepada pemborong atau orang tengah. Itik dimuatkan kedalam bakul yang serupa dengan bakul ayam yang boleh memuatkan antara 8 hingga 10 ekor dan diangkut ke rumah sembelih
    dengan menggunakan lori. Itik yang sudah diproses (chilled) diedarkan kerestoran-restoran cina dan juga hotel.

    Harga pasaran itik hidup di semenanjung ialah diantara RM3.80 hingga RM4.20 dan meningkat kepada RM6.50 pada musim perayaan. Manakala harga itik proses ialah antara RM6 hingga RM9 dan meningkat kepada RM12 pada musim perayaan.

    Promosi merupakan satu elemen yang penting bagi meningkatkan penjualan di mana ianya dapat memberi dan meningkatkan kesedaran serta pendidikan di kalangan masyarakat terhadap khasiat dan keenakan daging muscovy terutama kepada masyarakat melayu dan india. Promosi haruslah dijalankan secara berterusan dan berkesab melalui media massa dan elektronik seperti program pendidikan di sekolah, promosi prodak dan masakan di seluruh Malaysia. Daging muscovy amat sesuai dimasak dengan cara merebus (stew) dan ianya sangat popular di Pulau Pinang, Sarawak dan Singapura. Ia juga sesuai untuk masakan melayu dan india seperti rendang dan kari.

    Kelebihan Ayam Mutiara / Api-api



    Hari tu saya terbaca dalam Berita Minggu tentang “unggas emas” yang merujuk kepada ayam mutiara @ ayam api-api @ ayam belanda (utara). Dalam Bahasa Inggeris ia disebut “Guinea Fowl”
    Bersama artikel ini saya ingin memetik beberapa sedutan isi-isi penting tentang perkembangan, potensi dan masa depan penternakan unggas emas ini.

    KITA mungkin biasa mendengar ayam kampung, serama dan ayam belanda (piru / turkey). Tetapi tidak ramai yang mengenali sejenis lagi ayam yang tidak kurang hebatnya iaitu ayam mutiara atau api-api.
    Hebatnya ayam yang berasal dari benua Afrika ini bukan kerana bentuk fizikalnya – kelabu berbintik putih dan bertanduk kecil atau kerana kokokan yang nyaring hingga layak digelar ‘polis ladang’ termasuk menghalau ular, tetapi kerana nilai komersialnya yang tinggi berikutan dagingnya yang berkhasiat dan rendah kolesterol berbanding ayam daging.

    Di negara Barat misalnya, juadah ayam mutiara yang beratnya boleh mencecah 1.6 kilogram ini, amat popular kerana baik untuk kesihatan, sekali gus menjadikan harganya tinggi. Tidak kurang dakwaan yang mengaitkan telurnya mampu meningkatkan hubungan kelamin.

    Ayam ini juga berperanan sebagai penjaga kebun. Ini disebabkan ayam mutiara ini sememangnya diketahui sebagai pengawal haiwan perosak secara semula jadi.

    Ayam mutiara ini juga mudah dijaga kerana kurang makan, cuma masalahnya, ia suka bertelur di tempat tersembunyi seperti di kawasan semak.

    Harganya subjektif bergantung kepada penawaran dan permintaan di pasaran. Dulu ayam mutiara dewasa cuma RM35 seekor kerana tak banyak permintaan. Tapi sekarang….?

    Harga induk ayam mutiara ini dijual di kedai haiwan peliharaan pada harga RM130 seekor. Kalau beli terus dari ladang mungkin boleh dapat harga murah lagi.

    Seekor ayam mutiara betina mampu bertelur sehingga 30 biji pada satu-satu masa dan tempoh matangnya pula sembilan bulan ke atas atau satu hingga satu setengah tahun ke atas. Tempoh pengeraman menggunakan inkubator adalah 28 hari.
    Menariknya, kita tidak perlu tunggu lama untuk mendapat hasil kerana anak ayam berusia dua setengah bulan pun sudah boleh dijual.

    Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Haiwan Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Zukifli Idrus, berkata ayam mutiara ini boleh disifatkan sebagai produktif serta tahan lasak berbanding ayam daging biasa.

    “Ia mula bertelur selepas berusia setahun manakala ayam daging pula bertelur apabila ia mencecah usia 20 minggu. Tetapi ayam mutiara ini sebaliknya mampu bertelur sehingga tujuh tahun lamanya. Oleh itu kita boleh katakan antara keunikan ayam mutiara ini adalah tempoh kemampuannya bertelur,” katanya.

    Keunikan lain ayam mutiara ini, kata Dr Zulkifli adalah ia lebih tahan lasak dalam keadaan cuaca panas.
    “Ayam mutiara ini memang tahan lasak disebabkan asal usulnya dari Afrika Barat yang bercuaca panas. Ayam daging sebaliknya tidak tahan panas dan boleh mati.”

    Ini katanya, berkait rapat dengan faktor genetik ayam daging yang sudah diubah suai berikutan kedudukannya sebagai ternakan komersial.

    “Pengubahsuaian itu menjadikan ayam daging ‘lemah’ kerana keutamaannya ialah untuk memastikan pertumbuhan yang lebih cepat.”

    Faktor itu juga kata Dr Zulkifli, turut menjadikan ayam daging lebih tinggi kolesterol kerana kandungan lemaknya yang banyak berbanding ayam mutiara.

    “Daging ayam mutiara sebaliknya diketahui lebih sihat dan rendah kolesterol jika dibanding dengan ayam daging. Bagi setiap 100 gram misalnya, lemak dalam ayam mutiara cuma dua gram manakala ayam daging, enam gram. Ini menunjukkan kandungan lemak ayam daging itu adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada ayam mutiara,” katanya.



    Cara Memelihara Ayam Kampung



    Ayam kampung ialah spesis ayam yang asalnya hidup liar seperti ayam hutan, kemudiaannya dipelihara dan dijinakkan. Ada pendapat mengatakan ayam kampung asalnya ialah ayam hutan. Dalam istilah Inggeris, ia dipanggil “free-range-chicken” kerana corak kehidupannya yang hidup bebas mencari makan dengan sendiri.
    Pada masa sekarang, ayam kampung semakin mendapat perhatian dek kerana dagingnya yang sedap dan berkhasiat. Ramai penternak semakin ramai mengusahakan ayam kampung secara komersil. Ada untuk tujuan bekalan daging, telur dan benih ayam.

    Ayam kampung ori mudah dipelihara jika kena pada caranya. Cuma pantangnya ialah:
    • Jangan mengurung ayam 24 jam
    • Jangan bergantung kepada dedak komersil sahaja
    Jika anda melakukan dua perkara di atas, anda mungkin akan bankrap lebih awal kerana duit anda habis untuk membeli makanan kepada ayam selama 6 bulan sedangkan ayam belum dijual. Kalau jual pun, untung tak seberapa kerana kos makanan yang tinggi.

    Langkah-langkah di bawah dapat membantu anda untuk menjadi penternak yang berjaya:
    • Pagar seluruh kawasan anda supaya ayam anda tidak menceroboh ke tanah jiran dan untuk mengelakkan ayam anda dicuri dan dibaham oleh haiwan pemangsa
    • Amalkan konsep lepas bebas sepenuhnya atau separa bebas supaya ayam boleh hidup dengan riang gembira tanpa tekanan dan mampu berdikari mencari makanan sendiri.
    • Biarkan seluruh kawasan anda ditumbuhi rumput atau fauna-fauna hijau yang menyegarkan. Jangan racun kerana tumbuh-tumbuhan ciptaan Allah itu sangat bermanfaat sebagai makanan ayam.
    • Sekali-sekala gembur-gemburlah tanah supaya tanah tidak menjadi keras dan ayam boleh makan cacing yang keluar dari tanah.
    • Rajin-rajinlah pergi mengutip sisa-sisa makanan dari kantin-kantin,restoran-restoran atau kedai-kedai makan sebagai makanan saguhati kepada ayam-ayam anda.
    • Pelbagaikan makanan ayam dari sumber-sumber percuma atau seperti hampas kelapa, jagung ‘reject’, sayur reject, buah-buahan reject,roti / biskut reject , batang pisang, batang rumbia dan sebagainya.
    • Untuk anak ayam yang baru menetas hingga berusia sebulan, boleh gunakan dedak awal (broiler starter) yang kaya dengan protien dan zat tambahan untuk mempercepat tumbesaran. Untuk menjimatkan kos, boleh campurkan dengan temukut dan seumpama dengannya.
    • Anak-anak yang berusia sebulan boleh dilepaskan untuk bagi chance depa cari makan sendiri. Pastikan keselamatan anak ayam terkawal

    Cara Memelihara Ayam Belanda



    Saya ingin berkongsi beberapa perkara penting dalam bidang penternakan ayam ini. Beberapa tahun dahulu, ramai yang tidak tahu bagaimana untuk memelihara ayam belanda dengan betul terutama di peringkat anak. Hasilnya banyak anak ayam yang mati dan penternak terus “give-up” dan terus tak nak bela ayam lagi.
    R & D terus dijalankan oleh insan-insan yang berminat dan natijahnya, hari demi hari kita semakin mahir untuk menternak ayam belanda dengan cara yang betul dan membawa pulangan yang lumayan.

    Anak ayam yang berumur 1 – 15 hari perlu diberi perhatian lebih kerana ianya menentukan masa depan ayam itu. Seorang penternak menasihati saya, anak ayam dalam usia 1 – 15 hari perlu diberi haba, minuman dan makanan yang cukup. Kalau dia sakit dalam tempoh tu, maknanya sampai matilah dia sakit. Kalau dia tempang dalam waktu tu, maka tempanglah dia sampai bila-bila. Gerenti tak sembuh. Sebab itulah untuk sesiapa yang baru nak belajar-belajar, elok beli anak ayam yang berusia 15 hari ke atas untuk mengurangkan risiko kematian dan kerugian.

    Perumah

    Pada musim hujan, pastikan perumah sentiasa kering, lapik lantai dengan rumput kering yang telah “di-spray” dengan larutan antibiotik DETTOL untuk elak jangkitan bakteria. Bakteria mudah merebak dalam keadaan lembab. Gunakan kreativiti anda untuk membina reban yang kalis nyamuk, sama ada menggunakan jaring halus atau kelambu. Nyamuk adalah musuh utama anak ayam. Sekali gigit jadi puru. Bersihkan perumah setiap hari, gas ammonia dari najis ayam boleh akibatkan penyakit pneumonia.

    Haba

    Seeloknya, anak ayam dipelihara dalam kotak khas (brooder) yang dibekalkan mentol sebagai pemanas. Berapa watt nak guna, terpulang kepada keadaan semasa. Kalau musim hujan, kenala pakai yang tinggi sikit (60 – 100 watt). Kalau musim panas, pakai 5 watt pun boleh. Pastikan tiada angin luar yang masuk terutama waktu malam kerana angin malam boleh memudaratkan anak ayam (masuk angin dalam paru-paru). Kalau dibiarkan anak ayam kesejukan, nanti mereka akan berhimpit-himpit dan anak ayam yang lemah akan mati kena himpit. Kalau panas sangat pun tak boleh jugak nanti mati kepanasan. So, pemerhatian berterusan daripada anda diperlukan untuk melihat pergerakan anak ayam. Kalau mereka bebas bergerak, maknanya haba cukup. Kalau asyik berhimpit saja, maknanya haba kurang. Anak ayam elok dijemur selama beberapa jam pada waktu pagi untuk medapat vitamin D dan antibodi dari matahari.

    Air

    Air yang mencukupi perlu untuk kestabilan dan keseimbangan badan. Jangan biarkan anak ayam haus terlalu lama. Elakkan beri air yang berklorin dan tidak bersih. Kalau dapat air bertapis atau dari sumber semulajadi lagi bagus. Boleh larutkan vitamin+ antibiotik dalam air untuk menguatkan anak ayam dan elak penyakit.

    Makanan

    Elok bagi dedak pemula ayam daging (starter) yang telah dirumus khas untuk anak ayam. Jenama apa pun boleh. Tapi orang selalu guna sama ada Gold Coin 201C, Cargill 901C atau Hong Lee 501C dan lain-lain. Kalau nak jimat, buat rumusan makanan sendiri campuran temukut,dedak padi,hampas kelapa, jagung hancur, ikan baja, gandum hancur dan sebagainya tapi pastikan zat mencukupi. Bila dah lepas sebulan boleh campur dengan dedak penggemuk (grower). Elakkan menukar jenis makanan atau dedak yang biasa diberi dengan makanan lain yang ayam tak biasa makan secara tiba-tiba. Tukar secara perlahan-lahan hingga mereka boleh terima makanan tersebut. Boleh juga disulam dengan rumput dan dedaun hijau untuk membiasakan mereka dengan makanan semulajadi.